MAKSIAT & GURAUAN SAMBIL BERTUDUNG !


"Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama je
la ?" tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil tersenyum-senyum
selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.
Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap
sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam. Ia menjadi
lebih bahaya apabila disebabkan kejahilannya menjadikan hukum sebagai bahan
gurauan.
Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa
buah hadith, antaranya hadith : "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya
kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa
sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim,
Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.
Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :
ﻻ ﺗﺘﺒﻊ ﺍﻟﻨﻈﺮﺓ ﺍﻟﻨﻈﺮﺓ , ﻓﺈﻧﻤﺎ ﻟﻚ ﺍﻷﻭﻟﻰ ﻭﻟﻴﺴﺖ ﻟﻚ ﺍﻵﺧﺮﺓ
Ertinya : "Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana
yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" ( Riwayat Ahmad,
Abu Daud, Albani : Hasan)
ARTIS & LAWAK HUKUM
Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz
Islam seperti ‘MashaAllah' dan ‘InshaAllah' serta ‘Allahu Akbar' dalam lakonan lawak
mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas
memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan
pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.
Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian
separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media.
Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu
penuh dengan adegan ‘peluk sana sini' dan ‘dedah sana sini', maka di ketika itu ia
bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam. Ia adalah seni ‘fasad' yang
berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan mulia Islam.
Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian
adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak
sewajarnya. Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca 'Bismilah' ketika
memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah' apabila berjaya terlepas
dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah' di dalam tandas, atau seperti
seorang peminum arak mengucapkan "alhamdulillah" apabila menyelesaikan
minumannya.
Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan
wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum
serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina
lafaz mulia itu.
Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama
sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak
sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-
ﺍﻥ ﺍﻟﻌﺒﺪ ﻟﻴﺘﻜﻠﻢ ﺑﺎﻟﻜﻠﻤﺔ ﻣﺎ ﻳﺘﺒﻴﻦ ﻓﻴﻬﺎ ﻳﺰﻝّ ﺑﻬﺎ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻨﺎﺭ ﺃﺑﻌﺪ ﻣﻤﺎ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﻤﺸﺮﻕ ﻭﺍﻟﻤﻐﺮﺏ
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat
tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh
mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-
Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)
Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang
bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud
yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-
Bari, 11/376)
HINA ISLAM, BERTUDUNG & MAKSIAT
"Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan
melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa
pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz
tau tak?" tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan
aurat.
Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta
satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah..wa Inna
lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.
Pemuda itu juga menulis seperti 'kepeningan' dan 'kebingungan' dengan persekitaran
ini dengan katanya
"Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang
bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung
biasa, semua ni jenis yang 'murah' dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari
ni, apa pandangan ustaz?" Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda
berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para
wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.
"Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja
sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka
serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza
dengan free hair" katanya lagi dengan tegas.
Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan
panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini,
cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang
berlaku di hadapan matanya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan
aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan
imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya
kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal
abadi.
Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah
tentu lebih hebat dari wanita lain. Namun INI TIDAK SAMA SEKALI BERMAKNA
WANITA ITU LEBIH BAIK MELAKUKAN MAKSIAT DENGAN MEMBUKA TUDUNG,
KERANA MEMBUKA TUDUNG ITU SENDIRI ADALAH SATU DOSA BESAR YANG
BERASINGAN DENGAN MAKSIAT YANG DILAKUKANNYA. Hal gandaan dosa ini boleh
difahami dari ayat seperti :-
ﻳَﺎ ﻧِﺴَﺎﺀ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲِّ ﻣَﻦ ﻳَﺄْﺕِ ﻣِﻨﻜُﻦَّ ﺑِﻔَﺎﺣِﺸَﺔٍ ﻣُّﺒَﻴِّﻨَﺔٍ ﻳُﻀَﺎﻋَﻒْ ﻟَﻬَﺎ ﺍﻟْﻌَﺬَﺍﺏُ ﺿِﻌْﻔَﻴْﻦِ ﻭَﻛَﺎﻥَ ﺫَﻟِﻚَ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻳَﺴِﻴﺮًﺍ
Ertinya : Hai istri-istri Nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan
keji yang nyata, niscaya akan dilipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat.
Dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah. ( Al-Ahzab : 30 )
Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan
kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini
sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka
bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita
bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya
adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami' Li
Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )
Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya
dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika
bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat
itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertawbatlah. Demikian juga
halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat
ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar
dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.
Fikir-fikirkan dengan iman wahai sahabat sekalian.
Sekian,
Ust Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

0 Response to "MAKSIAT & GURAUAN SAMBIL BERTUDUNG !"

Post a Comment